Rabu, 9 September 2009

Jambatan Kemerdekaan

Jambatan Kemerdekaan


Dulu Jambatan kita pernah roboh,
rosak, musnah lalu hancur
rebah di bumi tanah lahirku ini

Resah jiwa bercelaru
Lantas dendam kesumat menjadi benih-benih amarah
Apakah hanya ingin melihat saja jambatan itu roboh
atau biarkan sahaja rosak, musnah lalu ranap hancur rebah menyembah bumi?
Tidak... tidak sama sekali

Para pejuang lalu bingkas bangun
bersatu membina kembali jambatan itu
ringtangan dan liku-liku begitu sukar dihadapi
Namun semangat juang tinggi
membuatkan mereka terus bangkit membinanya kembali

Ditembak, dipenggal, dibakar, disembelih
Mengalir air merah dari tubuh lemah tak bersalah
dari setitis kemudian melimpah terus parah
rumput hijau jadi merah mangsa dijajah bermandi darah

Roh keazaman semakin membara
Meneruskan jua membina jambatan mulia
Biar rintangannya berupa celaka
biar berupa malapetaka
Jambatan terus dibina jua,
Tujuannya bukan untuk sia-sia,
bukan untuk diratap sahaja
Tetapi untuk laluan generasi yang bakal tiba
supaya tidak merana seperti mereka

Kini jambatan itu masih ada
Aku, kau dan dia masih melaluinya
jambatan itu memang kukuh teguh sukar untuk diroboh
Ada yang memuji akan keteguhannya tatkala melangkah melalui jambatan itu
Ada juga yang melaluinya tanpa berkata apa-apa pun

Namun kini,
Jambatan itu seakan retak keteguhanya
lepak, berpeleseran, rempit, ragut
dadah, minda kolot punca retaknya

Maka bangkitlah bangsaku
Mari bersama kita perbaiki keretakkannya
kerana jambatan itu telah dibina
mereka yang berjasa untuk kita
Jambatan itu milik kita bersama.

Percayalah bangsaku
Jika roboh kembali jambatan itu
Habislah kita, pasti musnah hidup sengsara

Nukilan: ezamramlan 300809 jam1400

Tiada ulasan: