Sabtu, 26 Disember 2009

Mengejar Pelangi

Mengejar Mimpi

Tatkala liku berliku terharungi
Badai ditempuh penuh reaksi
Mengharap pelangi indah nan berseri
Insyaallah 2010 ia menjelma nanti

Aku ...
bukanlah Mat Jenin yang hanya berangan dihujung titi
Hanya mengharapkan apa yang belum pasti
Makhluk yang lemah meminta-minta pada yang HAKIKI.
Walaupun pelangi yang diminta Petir yang diberi
Tetap syukur kutadah merendahkan dahi..

Jika aku senang ada yang lebih senang dari ini
Jika aku susah ada yang lebih susah tak terperi
Sejak dulu aku telah berjanji
Tiada sesal sekali-kali terpahat di hati
Apa yang berlaku adalah segala yang diuji
Ada hikmahnya itulah rezeki

Azam perlu terus dikecapi
Azam ku anggap seperti pelangi
Menjadi panduan langkahan kaki
Walaupun longlai tak mampu berlari
Tetap berusaha menggapai pelangi

Kata orang tiada mustahil dalam dunia ini
Mustaqqim adalah dekat universiti
Belajar jurusan perubatan nak jadi doktor gigi
Hah... apa yang aku merepek ni

Begitu indah pelangi nan berseri
Tidak selalu singgah di bumi
Hanya seketika memberi seri
Mengharapkan aku terus mengejarnya sendiri
Akan ku kejar walaupun tak dapat itu pasti..

Nukilan: ezamramlan 261209 jam1450

Rabu, 9 September 2009

Jambatan Kemerdekaan

Jambatan Kemerdekaan


Dulu Jambatan kita pernah roboh,
rosak, musnah lalu hancur
rebah di bumi tanah lahirku ini

Resah jiwa bercelaru
Lantas dendam kesumat menjadi benih-benih amarah
Apakah hanya ingin melihat saja jambatan itu roboh
atau biarkan sahaja rosak, musnah lalu ranap hancur rebah menyembah bumi?
Tidak... tidak sama sekali

Para pejuang lalu bingkas bangun
bersatu membina kembali jambatan itu
ringtangan dan liku-liku begitu sukar dihadapi
Namun semangat juang tinggi
membuatkan mereka terus bangkit membinanya kembali

Ditembak, dipenggal, dibakar, disembelih
Mengalir air merah dari tubuh lemah tak bersalah
dari setitis kemudian melimpah terus parah
rumput hijau jadi merah mangsa dijajah bermandi darah

Roh keazaman semakin membara
Meneruskan jua membina jambatan mulia
Biar rintangannya berupa celaka
biar berupa malapetaka
Jambatan terus dibina jua,
Tujuannya bukan untuk sia-sia,
bukan untuk diratap sahaja
Tetapi untuk laluan generasi yang bakal tiba
supaya tidak merana seperti mereka

Kini jambatan itu masih ada
Aku, kau dan dia masih melaluinya
jambatan itu memang kukuh teguh sukar untuk diroboh
Ada yang memuji akan keteguhannya tatkala melangkah melalui jambatan itu
Ada juga yang melaluinya tanpa berkata apa-apa pun

Namun kini,
Jambatan itu seakan retak keteguhanya
lepak, berpeleseran, rempit, ragut
dadah, minda kolot punca retaknya

Maka bangkitlah bangsaku
Mari bersama kita perbaiki keretakkannya
kerana jambatan itu telah dibina
mereka yang berjasa untuk kita
Jambatan itu milik kita bersama.

Percayalah bangsaku
Jika roboh kembali jambatan itu
Habislah kita, pasti musnah hidup sengsara

Nukilan: ezamramlan 300809 jam1400

Sabtu, 10 Januari 2009

Anak

Anak

Jika dibesarkan dengan kritikan dia belajar menghina
Jika dibesarkan dengan rasa selamat dia belajar mempercayai diri
Jika dibesarkan dengan ugutan dia belajar memberontak
Jika dibesarkan dengan penerimaan dia belajar menyayangi
Jika dibesarkan dengan ketakutan dia belajar dalam kebimbangan
Jika dibesarkan dalam penghargaan dia belajar hidup bermatlamat
Jika dibesarkan dengan makanan haram dia akan tidak nampak kebenaran
Jika dibesarkan dalam keadaan bebas dia membesar dalam keadaan kebas.

Sabtu, 25 Oktober 2008

Cinta

Cinta...
Siapa kata cinta itu buta?
Mungkin kita buta kerana cinta
Cinta luas pengertiannya
Cinta adalah suci dan mulia
Pemberian tuhan yang Maha Kuasa
Setiap manusia ada perasaan
Sekeras manapun hatinya
Dia pasti akan jatuh cinta
Cinta pelbagai cinta
Cinta hadir tanpa diduga
Cinta pada yang disuka

Cinta oh cinta
Ada yang gila kerana cinta
Cinta tak perlu dipaksa
Jika dipaksa akan binasa
Ingatlah, cinta pada yang berhak
adalah cinta pada yang berkuasa
Kerana cinta itu akan bersinar selama-lamanya

Sabtu, 11 Oktober 2008

"Kebahagiaan"

Orang yang dicintai merasa bahagia.
Bahagianya bukan kerana dicinta.
Tetapi dia dicinta kerana bahagianya.

Apa itu bahagia?
Dimana bahagia?
Adakah bahagia datang kerana nasib?
Orang kaya sajakah yang bahagia?
Orang berjaya sajakah yang berasa gembira?

Tidak Tidak Tidak!
Semua orang berhak merasa bahagia.
Bahagia bukan bergantung pada nasib.
Bahagia bukan pada keadaan.
Bahagia bergantung pada bagaimana nasib dan keadaan itu diterima.

Ada seorang penghidap barah berkata ;
"Saya bernasib baik dan masih gembira walaupun menghidap barah.
Kerana barah ini, saya tahu bila saya akan mati.
Saya dapat minta maaf dan terima kasih kepada rakan-rakan, keluarga dan ibu bapa.
Saya gembira, puas dan bahagia"

Usah dikata "Saya tidak bahagia. Saya tidak gembira."
Kalau begitulah yang dikata, begitulah yang dirasa, begitulah jadinya.
Kata-kata itu doa. Doa yang dikota oleh Maha Pencipta.

Orang yang tidak merasa bahagia, selalu terlupa nikmat yang ada.
Orang tak bahagia sentiasa hendakkan apa yang tiada.
Yang tiada itulah yang dikira.
Yang ada depan mata langsung tidak disyukurinya.
Pabila rasa syukur tiada, maka hilanglah rasa bahagia.

Semua orang berhak bahagia.
Sesiapa saja boleh bahagia.
Untuk bahagia tidak perlu kaya.
Bahagia bukannya pada benda atau harta.
Bahagia itu perasaanlah yang merasa.
Bahagia itu pada kesedaran adanya.

Usahlah dipinta bahagia pada sesiapa.
Kerana ianya ada pada semua manusia.